Wednesday, April 7, 2010

Antara yang TAHU agama dan MAHU beragama

Perasaan bercampur baur, terkilan, kecewa, geram dan tidak berpuas hati apabila membaca novel-novel gambaran cerita yang dikatakan bercinta secara islami banyak diperikan dalam buku-buku ini. Terdapat banyak pergajaran yang boleh diambil ikhtibar dan ada juga yang tidak berapa sesuai untuk dipraktikkan oleh kita. Namun itu semua terserah kepada kita sebagai pembaca untuk mengutip sebanyak mana ikhtibar yang mungkin dalam sesebuah buku.


Setelah berjaya mengkhatamkan beberapa buah buku novel islami di sini saya dapat membuat satu kesimpulan awal yang ada di antara novelis yang terlampau taksub dengan pendirian-pendiriannya. Namun berkata-kata tentang soal pendirian, setiap individu mempunyai pendiriannya yang tersendiri dan kita sebagai pembaca haruslah membuka minda kita seluas mungkin tentang apa yang cuba disampaikan oleh penulis.



Jika Ketika Cinta Bertasbih kita ada Khairul Azam dan Anna Athofunnisa, jika Ayat-Ayat Cinta kita dan Fahri, Maria serta Aisha dan begitulah juga novel-novel yang lain. Lumrah novel, masing-masing mempunyai watak utamanya yang tersendiri dan watak yang biasa diketengahkan dalam novel islami adalah watak seorang lelaki yang soleh dan juga watak wanita yang solehah, yang berpendidikan agama, diasuh dengan amal dan ilmu agama yang tinggi dan mempunyai akhlak yang baik. Namun apabila disua tentang jodoh dan calon isteri idaman ,mereka mula menetapkan syarat untuk memilih wanita yang beragama.


Tidak salah memilih yang beragama sedangkan dalam hadis Rasulullah S.A.W sendiri telah menetapkan bahawa “ Perempuan itu dinikahi kerana 4 Perkara, Kerana Hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang memiliki agama nescaya sejahtera hidupnya”. Sudah terang lagi bersuluh, yang beragama merupakan salah satu ciri utama untuk memilih calon pasangan hidup.


Namun apa yang menyebabkan saya terkilan adalah apabila watak lelaki soleh yang amat menegaskan mereka mahu memilih untuk memperisterikan wanita yang beragama kerana tidak mahu bersusah payah mendidik mereka untuk menjadi wanita solehah. Wanita solehah lebih terjamin dari segala segi berbanding wanita yang biasa-biasa. Namun adakah itu jaminannya???. Terdapat juga watak yang walaupun disua dengan wanita yang baik tetapi bukan berkelulusan agama mereka tetap tidak menginginkannya kerana risau tentang tahap agamanya. Tapi isu yang dibangkitkan adalah, jika semua lelaki soleh mahukan wanita yang beragama bagaimanakah pula nasib wanita-wanita yang “kurang beragama” tetapi “mahu beragama”??. Bukankah mereka lebih memerlukan seorang lelaki yang bergelar suami untuk memimpin tangan mereka ke syurga??



Di sini saya lebih bersetuju dengan pandangan Ustaz hasrizal dalam salah satu artikelnya dalam Buku Aku Terima Nikahnya. Jika kita melihat pada harta tahukah kita kekayaan itu tidak menjamin kebahagiaan? Bukan semua benda boleh dibeli dengan harta kekayaan. Jika kita melihat kepada keturunan, maka ia juga tidak memastikan anda untuk berada si syurga. Hatta anda mengahwini anak Pak Kiai sekalipun belum pasti tahap agamanya kerana hidayah itu milik Allah dan iman itu tidak boleh diwarisi. Jika kita melihat kepada kecantikan maka kecantikan itu akan pudar dibawa arus usia. Dan Jika kita memilih yang beragama, dan ia mengamalkan agama dalam erti kata sebenar insyaAllah itulah yang sebaik-baiknya, namun kita harus sedar dikalangan orang yang beragama ini terdapat beberapa kategori. Ada yang TAHU agama tapi tidak mempraktikkannya, tapi ada yang kurang agamanya tapi MAHU menghayati agama.


Apa-apa pun janganlah menyempitkan diri dengan erti “beragama” itu kerana tidak semestinya yang beragama itu baik dari serba serbi kerana manusia ini tidak sempurna. Bukan bermakna saya ingin menyatakan bahawa wanita yang mahu beragama itu lebih baik dari wanita beragama tetapi di sini perlunya untuk kita melihat aspek beragama itu dengan lebih luas. Perlu diingat perkahwinan itu wasilah, matlamatnya adalah agama.


Di dalam Al-Quran, surah An-Nur ayat ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya: "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik….." ,
Dengan ayat ini, kita tidak dapat menafikan perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi cubalah menjadi wanita yang terbaik jika hati itu menginginkan Lelaki yang terbaik sebagai teman hidup. Dengan menjadi produk solehah kita tidak perlu lagi ‘menyusahkan’ kaum suami untuk mendidik kita. Seorang ibu diibaratkan sebagai madrasah untuk anak2nya, sebab itulah perlunya menyediakan diri kita sebagai produk solehah.


Seorang teman ada menegur saya tentang ayat menyusahkan diatas kerana sudah menjadi tanggungjawap suami untuk mendidik isteri tapi sengaja saya mahu menegaskannya kerana saya kecewa dengan salah satu novel yang beranggapan isteri yang “tidak berapa solehah” ini akan melambatkan proses mentarbiah kerana terpaksa mendidik isteri terlebih dahulu, berbanding jika mereka mendapat isteri yang solehah mereka tidak perlu membuang banyak masa untuk mentarbiah isteri mereka dan hanya menumpukan pada usaha mentarbiah anak-anak sahaja.


Apa-apa pun jodoh itu adalah rahsia Allah. Jodoh dan Ajal itu telah Allah tetapkan kepada kita sejak kita berada dalam kandungan lagi. Jika kita mahukan pasangan yang terbaik maka jadilah yang terbaik kerana janji Allah kepada kita adalah perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya. Wallahuallam



p/s: tak suka watak novel yang digambarkan begitu perfect, jika mahu menghidupkan sesuatu watak, sepatutnya kembalilah ke alam realiti, di alam dimana setiap manusia itu melakukan kesilapan.

p/ss: Baca novel Nur Suraya bertajuk “ Nyanyian Tanjung Sepi”. Pendekatan islami yang biasa-biasa tetapi mengikut garis islam yang ditetapkan.

p/ss: Thanks to Wan Afifah yang setia menjadi editor kepada artikel-artikel saya.

0 comments:

Post a Comment